BTS Media

Gempa 7.7 gegarkan Flores, sekurang-kurangnya 20 maut dan penduduk lari ke kawasan tinggi

GAMBAR: AFP

SEKURANG-KURANGNYA 20 orang maut selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter melanda perairan berhampiran Pulau Flores di timur Indonesia awal hari Sabtu, manakala ribuan penduduk terpaksa melarikan diri ke kawasan lebih tinggi selepas paras laut surut secara tiba-tiba.

Pegawai penyelamat, Fathur Rahman, berkata jumlah korban itu direkodkan di empat daerah di pulau berkenaan, manakala enam lagi mangsa cedera dan sekurang-kurangnya dua orang masih dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

Menurutnya, usaha mencari dan menyelamat mangsa menjadi keutamaan, namun operasi berdepan kesukaran selepas beberapa jalan terputus akibat tanah runtuh yang berlaku susulan gempa.

Beliau berkata, dua mangsa masih hidup di bawah runtuhan di daerah Manggarai yang bersebelahan, sementara pasukan penyelamat terus digerakkan ke Nagekeo, kawasan yang paling teruk terjejas.

Di Nagekeo yang paling hampir dengan pusat gempa, penduduk dilihat berpusu-pusu menuju ke kawasan berbukit selepas menyedari paras laut berundur, keadaan mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku tsunami.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) sebelum itu mengeluarkan amaran tsunami dan menggesa penduduk segera berpindah ke kawasan lebih tinggi.

Amaran itu kemudiannya ditarik balik, namun penduduk dinasihatkan supaya tidak kembali ke bangunan yang rosak kerana gegaran susulan dikhuatiri boleh menyebabkan struktur terbabit runtuh.

Puluhan gegaran susulan telah direkodkan, dengan yang terkuat berukuran 6.1 pada skala Richter.

Menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Indonesia, pusat gempa cetek itu dikesan di perairan tidak jauh dari pantai utara Flores, kira-kira 68 kilometer barat laut bandar pesisir Ende.

Di Maumere, pasukan penyelamat mengeluarkan beberapa mangsa dari runtuhan sebuah bangunan yang sebahagiannya roboh di kawasan pelabuhan.

Fathur berkata, dua mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan hidup, manakala seorang lagi ditemukan telah meninggal dunia.

Jumlah sebenar kemusnahan masih dinilai, dengan laporan awal menunjukkan kerosakan pada bangunan dan kemudahan awam di beberapa kawasan.

Seorang penduduk Maumere, Lukas Lotar, gegaran berlaku secara tiba-tiba sehingga mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.

Menurutnya, pesakit turut melarikan diri dari sebuah hospital selepas bangunan itu bergegar kuat, manakala beberapa bahagian dinding dilihat mengalami keretakan.

Kebanyakan kawasan terjejas terdiri daripada pekan dan kampung yang tidak mempunyai banyak bangunan tinggi, sekali gus mengubah corak operasi menyelamat kepada pencarian mangsa di bawah runtuhan struktur rendah.

Indonesia terus berdepan ancaman gempa

Pengarah Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Wijayanto, berkata walaupun amaran tsunami telah ditamatkan, pihaknya masih memantau perubahan paras laut bagi memastikan tiada ancaman susulan.

Rakaman dari kawasan terjejas menunjukkan penduduk meninggalkan pekan secara berjalan kaki, menaiki motosikal dan kereta, malah sebahagiannya memenuhi ruang belakang kenderaan pacuan empat roda.

Indonesia dan negara jirannya sememangnya kerap dilanda gempa bumi kerana terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang mempunyai aktiviti seismik tinggi dari Jepun melalui Asia Tenggara hingga ke lembangan Pasifik.

Flores pernah dilanda gempa berukuran 7.7 pada 1992 yang mencetuskan tsunami dan mengorbankan kira-kira 2,500 nyawa.

Indonesia turut mempunyai sejarah gempa bumi dahsyat, termasuk gempa berukuran 9.1 pada tahun 2004 di luar pantai Sumatera yang mencetuskan tsunami besar dan mengorbankan kira-kira 220,000 orang di seluruh rantau, termasuk sekitar 170,000 di Indonesia.

Pada tahun 2018, Pulau Lombok dilanda gempa kuat yang disusuli beberapa gegaran lain dalam tempoh beberapa minggu, menyebabkan lebih 550 orang maut di Lombok dan Sumbawa.

Pada tahun sama, gempa berukuran 7.5 di Palu, Sulawesi, diikuti tsunami, menyebabkan lebih 4,300 orang maut atau dilaporkan hilang.

Kejadian terbaharu di Flores itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap ancaman gempa dan tsunami di Indonesia, ketika pasukan penyelamat masih bertungkus-lumus menilai kerosakan serta mencari mangsa yang mungkin masih terperangkap di bawah runtuhan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment