MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu mencadangkan kerajaan memperkenalkan mekanisme undang-undang yang membolehkan semua banduan menjalani separuh tempoh hukuman di penjara dan baki separuh lagi menerusi tahanan rumah.
Mohamadberkata mekanisme itu perlu berasaskan kerangka perundangan yang adil, telus dan dilaksanakan secara seragam tanpa mengira kedudukan, pangkat, pengaruh politik atau latar belakang seseorang.
Presiden Amanah itu turut menawarkan untuk menyumbangkan keseluruhan gaji bulanannya sebanyak RM11,900 sebagai menteri sehingga Parlimen penggal ini dibubarkan bagi membiayai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersedia memperjuangkan cadangan berkenaan.
Beliau menggesa NGO termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Syarie serta pertubuhan masyarakat sivil supaya tampil memperjuangkan prinsip kesamarataan hak seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, mekanisme tahanan rumah tidak seharusnya memberikan keistimewaan kepada individu tertentu, sebaliknya perlu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang sama bagi semua banduan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Himpunan Semarak Tani Bersama Nelayan Melaka di Taman Panglima Pak, Merlimau, hari ini.
Cadangan itu dikemukakan sehari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri, Najib Razak boleh menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.
Najib dijadual kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 bagi menjalani hukuman berkaitan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Mohamad turut menjelaskan bahawa pendiriannya itu tidak berpunca daripada sebarang perselisihan peribadi dengan Najib atau ahli keluarganya, sebaliknya berasaskan keperluan memastikan keadilan dilaksanakan secara sama rata tanpa mengira kedudukan atau pengaruh seseorang.
Beliau turut mengaitkan cadangan berkenaan dengan prinsip keadilan dalam Islam yang menegaskan bahawa tiada individu boleh dikecualikan daripada pelaksanaan undang-undang semata-mata kerana kedudukan atau hubungan kekeluargaan.
Katanya, prinsip Rukun Negara, khususnya Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-undang, perlu terus menjadi asas bagi memastikan keadilan ditegakkan tanpa diskriminasi.
Mohamad menegaskan bahawa undang-undang dan Perlembagaan perlu dilaksanakan serta dipertahankan secara adil untuk semua, tanpa menjadikan keadilan sebagai hak eksklusif kelompok tertentu.
Beliau berkata usaha itu penting bagi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara dan memastikan keharmonian Malaysia terus terpelihara.
-BTSMedia.my



