BTS Media

Najib dijangka pulang ke rumah malam ini, kata peguam

NAJIB Razak dijangka dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Langgak Duta malam ini untuk menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah, berkata penjelasan Mahkamah Tinggi hari ini (10 November) telah menghapuskan kekeliruan berhubung perintah tahanan di rumah yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.

Menurut Shafee, Najib perlu dibawa kembali ke Penjara Kajang terlebih dahulu bagi dimaklumkan mengenai syarat dan prosedur tahanan di rumah sebelum pemindahan dilaksanakan.

Beliau berkata denda RM50 juta yang dikenakan dalam kes SRC International telah dibayar pada 6 November lalu hasil kutipan kira-kira RM52 juta oleh UMNO.

Shafee menjelaskan bahawa Najib masih tertakluk kepada sekatan sepanjang menjalani tahanan di rumah, termasuk larangan meninggalkan kediaman tanpa kebenaran khas atau alasan yang dibenarkan. Pelawat juga perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa penjara.

Sementara itu, seorang lagi peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, berkata Najib dijangka tiba di kediamannya sekitar pukul 7.30 malam selepas mengambil kira masa yang diperlukan untuk urusan pemindahan dari Penjara Kajang.

Shafee turut mengkritik kelewatan pelaksanaan perintah pengampunan diraja itu, yang menurutnya boleh menjejaskan kewibawaan institusi diraja.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pasukan pembelaan masih menunggu salinan fizikal rekod prosiding kes 1MDB sebelum meneruskan proses rayuan. Tarikh pendengaran rayuan itu bagaimanapun belum dapat dipastikan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment