Oleh Fetty Rara
BEKAS perdana menteri Najib Razak telah menggugurkan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah dan Tetuan Shafee & Co daripada mewakili dirinya bagi rayuan terakhir terhadap keputusan bersalah berhubung penyelewengan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Pertukaran peguam bela ini berlaku hanya beberapa minggu sebelum mahkamah tertinggi negara dijadualkan mendengar rayuan terakhir beliau.
Tetuan Shafee & Co turut memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa Najib telah melantik firma guaman di mana Mohd Zaid Ibrahim merupakan peguam untuk mewakilinya.
Menurut firma Shafee, semalam (25 Julai) pada kira-kira pukul 5.00 petang mereka menerima surat daripada Najib memaklumkan bahawa perkhidmatan untuk bertindak sebagai peguam dan peguam cara dalam mewakilinya bagi rayuan jenayah berkenaan dan prosiding berkaitan ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.
Melalui surat kepada Mahkamah Persekutuan, Najib memaklumkan bahawa beliau telah melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners sebagai peguam cara.
Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners ialah firma guaman di mana Zaid kini berkhidmat. Sebelum ini beliau merupakan pemilik dan pengasas firma guaman Zahid Ibrahim & Co.
Mahkamah Persekutuan dijadualkan mendengar rayuan kes SRC Najib selama 10 hari dari 15 hingga 19 Ogos, dan dari Ogos hingga 26 Ogos.
-BTS Media