BTS Media

Enam suspek penyeludupan dadah guna aset TUDM didakwa esok, tujuh lagi berdepan tindakan pencegahan

ENAM individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah menggunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan didakwa di mahkamah esok, manakala tujuh lagi bakal dikenakan tindakan pencegahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata enam suspek itu terdiri daripada tiga anggota TUDM dan tiga orang awam.

Beliau berkata, kesemua mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, tujuh lagi suspek akan dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Sebelum ini, seramai 13 individu termasuk tujuh anggota TUDM ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sindiket penyeludupan dadah yang dipercayai menggunakan aset tentera udara.

Penahanan itu susulan penemuan 96.64 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM4.83 juta dalam pemeriksaan rutin di Pangkalan Udara TUDM Subang pada 17 November lalu.

-BTSMedia.my

Leave a Comment