TIGA lelaki ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menyerang seorang lelaki berusia 62 tahun selepas berlaku kemalangan jalan raya di Lorong Ikhwan, Jalan Pasir Panjang, Isnin lalu.
Perintah reman sehingga hari Sabtu itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Amir Zainul Muttaqin Mohd Zamri.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 39 hingga 44 tahun itu ditahan petang semalam.
Menurutnya, kejadian dipercayai bermula apabila sebuah Perodua Alza melanggar bahagian belakang sebuah kereta Skoda yang dipandu isteri mangsa.
Mangsa yang keluar daripada kenderaan untuk memeriksa kerosakan bagaimanapun dipercayai diserang oleh tiga lelaki yang berada di dalam Perodua Alza berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa mengalami kecederaan pada muka, hidung dan mulut selepas ditumbuk serta disiku.
Rakaman kejadian itu kemudian tular di Facebook sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
-BTSMedia.my



