SEORANG bekas anggota polis yang mendakwa pernah dipukul oleh Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada tahun 2015 tidak akan memfailkan saman terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) itu kerana tuntutannya telah melepasi tempoh had masa yang ditetapkan undang-undang.
Peguam Kamal Hisham Ja’afar, yang mewakili bekas anggota berkenaan, berkata tindakan saman sivil tidak dapat diteruskan berikutan Seksyen 6 Akta Had Masa 1953, yang menetapkan tempoh enam tahun untuk memfailkan tuntutan selepas sebab tindakan timbul.
Bagaimanapun, katanya, anak guamnya berharap laporan polis yang dibuat pada tahun 2015 dapat diteliti, disiasat dan dipertimbangkan secara adil oleh pihak polis serta Peguam Negara demi kepentingan keadilan.
Menurut Kamal Hisham, laporan berkenaan merupakan satu-satunya ruang dan peluang yang masih ada bagi anak guamnya untuk mendapatkan keadilan yang tertangguh sejak 11 tahun lalu.
Beliau berkata, bekas anggota polis itu menyerahkan sepenuhnya perkara berkenaan kepada pertimbangan dan kebijaksanaan Peguam Negara untuk membuat keputusan yang adil.
Dakwaan lama itu kembali menjadi perhatian selepas Mohd Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu atas tuduhan menyerang dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Laporan polis terhadap Mohd Shuhaily, yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak, dikatakan dibuat pada 19 November 2015.
Kamal Hisham turut mendakwa anak guamnya, yang masih berkhidmat dalam pasukan polis ketika laporan itu dibuat, berdepan pelbagai kesukaran dan tekanan dalam kerjaya selepas membuat laporan berkenaan, sebelum akhirnya dipecat daripada pasukan polis.
-BTSMedia.my



