AGENSI Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menghentikan semua urusan pendaftaran dan dokumentasi pelarian serta pemohon suaka di Malaysia berkuat kuasa hari Rabu, susulan keputusan kerajaan mengambil alih pengurusan proses berkenaan secara berperingkat.
UNHCR dalam kenyataan memaklumkan langkah itu selaras dengan peralihan tanggungjawab kepada kerajaan Malaysia, yang kini mula menguruskan sendiri pendaftaran serta rekod data pelarian.
Bagaimanapun, agensi itu menegaskan penghentian urusan pendaftaran dan dokumentasi tidak bermakna operasinya di Malaysia akan ditutup sepenuhnya.
Sebaliknya, UNHCR akan terus memberikan khidmat nasihat teknikal, perkongsian kepakaran serta kerjasama kepada kerajaan sepanjang tempoh peralihan berkenaan.
Agensi itu turut menegaskan komitmennya untuk meneruskan pelbagai bentuk bantuan kepada pelarian dan pemohon suaka, termasuk urusan penempatan semula serta bantuan perlindungan bagi mereka yang berdepan keperluan mendesak.
Menurut UNHCR, perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia masih berlangsung bagi merangka pelan hala tuju peralihan yang dapat memastikan perlindungan terhadap pelarian dan pemohon suaka terus terjamin.
Perubahan itu sebelum ini diumumkan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, di Dewan Rakyat, yang menjelaskan bahawa kerajaan akan mengambil alih pengurusan pendaftaran serta data pelarian secara berperingkat menerusi Jabatan Imigresen.
Beliau berkata, langkah berkenaan bertujuan membolehkan kerajaan memiliki rekod pelarian yang menyeluruh, disahkan dan dikemas kini tanpa lagi bergantung kepada pengurusan pihak luar.
-BTSMedia.my



