BTS Media

Isu WhatsApp: Pelajar Tingkatan dua dibelasah, tiga rakan ditahan

SALAH faham berhubung mesej dalam sebuah kumpulan WhatsApp dipercayai menjadi punca seorang pelajar Tingkatan dua dibelasah tiga pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Tangkak, Johor, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi, 13 November lalu, mangsa didakwa ditumbuk dan ditendang berulang kali oleh tiga pelajar berusia 15 tahun di dalam bilik darjah.

Kejadian itu terbongkar selepas video rakaman serangan berkenaan tersebar luas di media sosial sehingga menarik perhatian orang ramai.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd Roslan Talib berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 12.09 tengah malam, 14 November lalu.

Menurutnya, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, selepas mengalami kecederaan pada beberapa bahagian tubuhnya.

Pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada kepala, dada, abdomen serta lengan kiri.

Susulan laporan diterima, polis menjalankan siasatan sebelum mengenal pasti dan menahan tiga pelajar lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.

Siasatan awal mendapati pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada salah faham dalam grup WhatsApp yang menimbulkan rasa tidak puas hati antara pelajar terbabit.

Mohd Roslan berkata, ketiga-tiga suspek mengakui penglibatan mereka dalam kejadian itu ketika disoal siasat.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Beliau menegaskan polis memandang serius sebarang perbuatan buli dan keganasan, khususnya yang melibatkan pelajar sekolah, kerana tindakan menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan perselisihan bukan sahaja boleh mencederakan mangsa, malah mengancam keselamatannya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa dan pihak sekolah supaya sentiasa memantau tingkah laku serta pergaulan anak-anak, selain tidak memandang ringan sebarang aduan berkaitan buli.

-BTSMedia.my

Leave a Comment