GAMBAR: Bomba Melaka
DUA pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut, manakala dua lagi cedera apabila kereta mereka merempuh penghadang di Lebuhraya Utara-Selatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jasin, Supt Ahmad Jamil Radzi mengesahkan yang maut Nurul Syafiqah Nasruddin, 19, dari Kampung Ulu Rokan, Gemencheh, Negri Sembilan, dan Nurhanis Afryna Azizan, 19, dari Felda Selancar, Muadzam Shah, Pahang.
Mangsa yang cedera ialah Nur Hanis Suraya Supiyan, 20, dari Taman Setongkol Fasa 2, Kuantan, Pahang, dan Azwalidiya Azman, 21, dari Kampung Baru Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.
Menurut DSP Ahmad Jamil, kereta yang dipandu Nur Hanis Suraya itu terbabas ke lorong kecemasan di KM187.6 lebuh raya arah utara pada pukul 6.20 pagi Khamis (26 Dis).
Nurul Syafiqah, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan, dan Nurhanis Afryna, di tempat duduk belakang, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ahmad Jamil berkata Nur Hanis Suraya cedera di kaki, manakala seorang lagi penumpang cedera ringan.
Keempat-empat pelajar itu dalam perjalanan dari Johor ke Melaka ketika kemalangan itu berlaku.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau berbahaya.
Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Melaka Mohd Hanif Mustafa berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.23 pagi dan anggota penyelamat dari balai bomba Jasin Bestari digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.
-BTS Media