Oleh Yusoff A. Shariff
DUA anggota dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) maut dihempap pokok tumbang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik awal pagi semalam.
Tentera Darat Malaysia (TDM) mengumumkan kematian Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, dan Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, dalam satu kenyataan malam tadi.
Kedua-dua anggota meninggal dunia di sebuah pangkalan sementara dalam kawasan operasi apabila ribut melanda sekitar pukul 2.30 pagi.
Selepas ribut reda pada kira-kira pukul 2.50 pagi, pemeriksaan keselamatan mendapati kedua-dua anggota itu maut selepas sebatang pokok tumbang dan menghempap mereka.
TDM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mereka, dan berkata bantuan akan disalurkan bagi memastikan kebajikan waris mereka terjamin.
Mohd Kamal akan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah, manakala Muhammad Zaki akan dikebumikan di Chuping, Perlis, tambah kenyataan itu.
-BTS Media