BTS Media

Bekalan elektrik pantai timur Sabah dijangka pulih sepenuhnya hari ini

PENDUDUK di pantai timur Sabah dijangka dapat menikmati bekalan elektrik seperti biasa hari ini apabila kerja-kerja membaiki talian penghantaran utama yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Sandakan disasarkan siap sebelum pukul 3 petang.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Mohd Yaakob Jaafar, berkata kerja-kerja pemulihan di lokasi menara penghantaran yang runtuh di Kampung Sagindai kini mencapai kira-kira 70 peratus.

Beliau berkata lima konduktor sudah dipasang, manakala konduktor terakhir berjaya ditarik merentasi sungai, sekali gus membolehkan kerja penyambungan satu litar talian penghantaran timur-barat diteruskan.

Menurutnya, jika tiada sebarang masalah, penyambungan litar berkenaan dijangka selesai sebelum pukul 3 petang, sekali gus membolehkan bekalan elektrik disalurkan semula secepat mungkin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau perkembangan kerja-kerja pemulihan di lokasi berkenaan hari ini.

Katanya, pemasangan menara sementara menerusi Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) selesai pada tengah hari semalam, membolehkan kerja menyambung semula talian penghantaran dimulakan.

Proses itu membabitkan penyambungan Menara 312 di bahagian Kota Kinabalu kepada menara sementara sebelum disambungkan semula ke Menara 314 yang menghala ke Sandakan.

Seramai 148 petugas dikerahkan bagi melaksanakan kerja-kerja berkenaan, terdiri daripada 64 kakitangan Sabah Electricity dan 84 pekerja kontrak.

Pemeriksaan udara menggunakan helikopter turut dilakukan kira-kira pukul 11 pagi tadi bagi memastikan tiada halangan atau kerosakan lain di sepanjang laluan talian sebelum bekalan elektrik disambungkan semula.

Mohd Yaakob berkata, pengoperasian semula satu litar itu membolehkan kira-kira 150 megawatt (MW) tenaga elektrik disalurkan ke pantai timur, mencukupi untuk menampung kekurangan bekalan semasa yang hampir 100MW, selain menyediakan lebihan kapasiti sekitar 50MW.

Sementara itu, Sabah Electricity memaklumkan sebanyak 27 set janakuasa mudah alih sedang beroperasi di tujuh daerah terjejas setakat tengah hari tadi.

Daerah terbabit ialah Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna.

Janakuasa berkenaan digunakan untuk membekalkan tenaga sementara kepada hospital, sekolah, loji rawatan air dan ibu pejabat polis bagi memastikan perkhidmatan penting terus beroperasi sepanjang tempoh pemulihan.

Gangguan bekalan elektrik berskala besar melanda pantai timur Sabah sejak Khamis lalu susulan runtuhan Menara 313 di Ranau, yang menjejaskan lebih 150,000 pengguna.

Walaupun lebih 70 peratus bekalan kepada kawasan terjejas sudah dipulihkan, catuan elektrik masih dilaksanakan sementara menunggu talian penghantaran utama beroperasi sepenuhnya.

-BTSMedia.my

Leave a Comment