SEEKOR monyet yang menceroboh pencawang grid elektrik Sri Lanka telah menyebabkan bekalan elektrik di seluruh Sri Lanka terputus pada hari Ahad.
Menurut pihak berkuasa, gangguan bekalan elektrik yang bermula sekitar pukul 11.30 pagi waktu tempatan itu masih belum dipulihkan sepenuhnya selepas tiga jam.
“Seekor monyet telah menyentuh pengalih grid hingga menyebabkan ketidakseimbangan dalam sistem bekalan elektrik,” kata Menteri Tenaga Kumara Jayakody kepada pemberita, lapor AFP.
Beliau berkata, kejadian berlaku di pinggir selatan bandaraya Colombo.
Walaupun bekalan elektrik dipulihkan di beberapa kawasan, namun di banyak kawasan gangguan masih berlaku.
Pada musim panas tahun 2022, penduduk Sri Lanka terpaksa bergelap berbulan-bulan akibat krisis ekonomi.
Pada masa itu, stesen minyak yang kehabisan petrol dan diesel telah memaksa janakuasa haba mencatu bekalan elektrik kepada hanya 13 jam setiap hari.
-BTS Media