TIGA pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama tiga orang awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 96.64 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang.
Mereka ialah Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, 33; Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, 27; Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34; Tan Sui Seng, 48; Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin, 28; dan Afifah Amdas, 34.
Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.
Kes berkenaan terbongkar susulan pemeriksaan rutin di Pangkalan Udara Subang pada 17 November lalu yang menemukan 96.64 kilogram dadah disyaki methamphetamine dengan nilai anggaran RM4.83 juta.
Sebelum ini, seramai 13 individu termasuk tujuh anggota TUDM ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan penyeludupan dadah yang dipercayai membabitkan penggunaan aset Tentera Udara Diraja Malaysia.
-BTSMedia.my



