BTS Media

Lima pegawai TUDM antara 11 ditahan, sindiket dadah dipercayai guna kemudahan tentera

LIMA pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 11 individu yang ditahan dalam siasatan sindiket penyeludupan dadah jenis methamphetamine seberat 96.64 kilogram, bernilai RM4.83 juta, yang dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan udara tentera untuk membawa dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata sindiket itu dipercayai menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.

Menurutnya, kegiatan itu terbongkar hasil kerjasama risikan strategik antara JSJN Bukit Aman dengan Provost Marshal Tentera Udara, sebelum beberapa operasi dijalankan di Lembah Klang dan Labuan, Sabah, pada 17 November lalu.

Beliau berkata, risikan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai mula aktif sejak bulan Julai lalu dan mengeksploitasi kemudahan penerbangan tentera untuk melancarkan kegiatan penyeludupan.

Hussein berkata, semua lima pegawai TUDM ditahan reman selama tujuh hari, bermula 18 hingga 24 November, manakala enam individu awam direman antara dua hingga lima hari bagi membantu siasatan.

Saringan awal air kencing mendapati dua daripada individu awam yang ditahan positif methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, JSJN turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita dua kenderaan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM126,062.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika sabit kesalahan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment