BTS Media

Pegawai kanan tentera direman enam hari bantu siasatan rasuah

SEORANG pegawai kanan angkatan tentera direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan kira-kira RM150,000.

Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Uthman Abd Ghani.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.

Sumber tersebut memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati suspek, yang ketika kejadian berkhidmat sebagai pegawai pemerintah sebuah kem, dipercayai telah meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM150,000 pada tahun 2024 berkaitan kerja-kerja pembekalan bahan mentah.

Beliau berkata, suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai daripada lima syarikat yang dianugerahkan kontrak pembekalan bagi penyelenggaraan sebuah stor di kem berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

-BTSMedia.my

Leave a Comment