BTS Media

Radzi gesa kerajaan hidupkan semula pasukan khas tentera era pandemik tangani pendatang tanpa izin

AHLI Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Dr Radzi Jidin daripada Bersatu, menggesa kerajaan menghidupkan semula pasukan petugas bersepadu yang ditubuhkan ketika pandemik COVID-19, membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguat kuasa lain bagi membendung kemasukan serta menangani keberadaan pendatang tanpa izin di negara ini.

Beliau berkata, pendekatan seumpama Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diwujudkan ketika pandemik COVID-19 wajar dipertimbangkan semula bagi memperkukuh usaha penguatkuasaan.

Radzi berkata, beliau menyokong cadangan Panglima Angkatan Tentera pada 14 September lalu supaya operasi bersepadu seperti NTF diaktifkan semula bagi menangani isu pendatang tanpa izin.

Menurutnya, perkara itu juga pernah dibangkitkan beberapa kali di Dewan Rakyat kerana usaha membanteras kemasukan pendatang tanpa izin memerlukan penggemblengan semua agensi berkaitan, termasuk ATM.

Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan perkembangan terkini cadangan berkenaan yang difahamkan telah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi Kementerian Pertahanan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, Radzi berkata kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mengaktifkan semula pasukan petugas operasi pematuhan yang beroperasi di bawah Op Penawar ketika pandemik.

Katanya, jika Op Benteng di bawah NTF memberi tumpuan kepada kawalan sempadan bagi menghalang kemasukan secara haram, pendekatan seumpama Op Penawar pula boleh digunakan untuk menangani pendatang tanpa izin yang sudah berada dalam negara.

Beliau berkata, kedua-dua operasi sebelum ini membabitkan penyelarasan dan penggemblengan pelbagai agensi penguat kuasa, termasuk anggota tentera.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan tidak hanya menumpukan kawalan di sempadan, sebaliknya turut melibatkan anggota tentera dalam operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi menangani keberadaan pendatang tanpa izin.

-BTSMedia.my

Leave a Comment