PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mengakui urusan dengan China lebih mudah berbanding Amerika Syarikat (AS) kerana faktor kedudukan sebagai negara jiran, hubungan budaya yang lebih akrab serta keterbukaan pemimpin Beijing dalam mendengar pandangan Malaysia.
Dalam wawancara dengan South China Morning Post (SCMP) di Shenzhen, Anwar menegaskan hubungan baik Malaysia dengan China tidak bermakna negara ini memihak kepada Beijing atau mengetepikan Washington.
Beliau berkata China tidak pernah meminta Malaysia menjauhkan diri daripada AS, termasuk dalam kerjasama teknologi, sambil menolak tanggapan bahawa Malaysia semakin condong kepada China.
Anwar turut mendedahkan Presiden AS, Donald Trump, pernah membangkitkan dakwaan Malaysia lebih cenderung kepada China ketika perbualan mereka di dalam limosin rasmi presiden, The Beast, semasa lawatan Trump ke Kuala Lumpur tahun lalu.
Menurut Anwar, beliau menjelaskan kepada Trump bahawa hubungan Malaysia dengan China berasaskan faktor geografi, sejarah dan kepentingan bersama, bukannya soal keberpihakan. Beliau turut menyifatkan Trump sebagai seorang yang sedia mendengar dan bersikap baik ketika perbincangan itu.
Pendirian Malaysia turut diuji apabila Washington mengenakan sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI) canggih ke Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara lain, atas kebimbangan teknologi berkenaan disalurkan kepada pusat data China.
Anwar berkata Malaysia akan memantau pematuhan syarikat AS terhadap sekatan tersebut, tetapi langkah itu tidak akan menghalang negara daripada terus bekerjasama dengan China, termasuk menerima pelaburan dan mengembangkan hubungan perdagangan.
Beliau turut mempertahankan pendekatan Malaysia dalam menangani pertikaian Laut China Selatan, menyifatkan rundingan dengan Beijing sebagai munasabah selagi kedua-dua pihak menghormati garis merah masing-masing. Menurutnya, pertikaian wilayah dan maritim tidak semestinya menjejaskan hubungan baik antara negara jiran.
Anwar juga mempertahankan kenyataannya bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China, dengan menegaskan ia selaras dengan dasar satu China yang diamalkan Malaysia sejak 1974, bukannya pendirian baharu terhadap Taiwan.
Beliau berkata, walaupun rundingan perdagangan dengan Taiwan ditangguhkan susulan kenyataan itu, hubungan ekonomi dan pelaburan kedua-dua pihak tidak menunjukkan tanda-tanda terjejas.
Anwar menegaskan Malaysia akan terus mengekalkan hubungan dengan China dan AS tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana pihak, sambil mengutamakan kepentingan nasional dalam menghadapi persaingan geopolitik dan teknologi antara
kedua-dua kuasa besar.
-BTSMedia.my



