KONTROVERSI pembaharuan pajakan 99 tahun Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dengan premium nominal RM1,000 telah sengaja dibesar-besarkan, sehingga menjadi polemik perkauman.
Dakwaan bahawa kerajaan memberikan kelebihan atau keistimewaan kepada KLSCAH dengan menyerahkan tanah bernilai jutaan ringgit kepada sebuah institusi kaum tertentu adalah tidak tepat. Ramai menggunakan sentimen perkauman tanpa memahami syarat sebenar pembaharuan pajakan itu.
Pemberian premium nominal kepada institusi bukan berasaskan keuntungan, rumah ibadat, sekolah, badan kebajikan dan persatuan budaya bukan perkara baharu. Ia merupakan amalan pentadbiran yang telah lama wujud, bagi membolehkan institusi berkenaan menumpukan sumber kepada operasi dan khidmat masyarakat, bukannya dibebani kos tanah komersial.
Perkara paling penting yang sengaja atau tidak diabaikan ialah KLSCAH *telah melepaskan hak pembangunan komersial tanah tersebut* dengan bersetuju menukar statusnya daripada komersial kepada institusi.
Anggaran nilai RM4.67 juta yang dijadikan bahan kecaman merujuk kepada potensi komersial tanah di bawah status terdahulu. KLSCAH kini tidak boleh membangunkan tanah itu untuk tujuan komersial seperti membina pejabat atau kondominium. Maka, membandingkan nilai komersial tersebut dengan premium RM1,000 tanpa mengambil kira perubahan status dan sekatan penggunaan tanah adalah mengelirukan.
KLSCAH juga menanggung tanggungjawab memelihara bangunan bersejarah yang diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan, dengan kos penyelenggaraan yang tinggi. Dewan itu dilaporkan mengalami defisit operasi sekitar RM400,000 setahun, sebahagiannya akibat kos menjaga bangunan yang semakin berusia.
KLSCAH pula bukan sekadar sebuah institusi untuk komuniti Cina. Selama bertahun-tahun, ia menjadi ruang kepada forum masyarakat sivil, wacana, kegiatan seni, pelancaran buku dan perbincangan isu nasional yang terbuka kepada pelbagai kaum.
Malangnya, ramai yang memilih untuk melihat isu ini melalui lensa perkauman, bukannya memahami fakta dan syarat yang dikenakan. Tidak semua keputusan kerajaan yang melibatkan institusi Cina bermaksud kaum Cina diberikan keistimewaan.
Ironinya, mereka yang begitu lantang mempertikaikan premium RM1,000 ini sering kali tidak menunjukkan kemarahan yang sama terhadap kes rasuah dan penyelewengan wang rakyat yang melibatkan jutaan, malah berbilion ringgit.
Sebelum menunggang sentimen kaum, mungkin ada baiknya memahami perkara sebenar. Dalam isu KLSCAH, apa yang digambarkan sebagai keistimewaan sebenarnya ialah pengaturan bersyarat yang turut menghapuskan hak pembangunan komersial institusi itu.
-BTSMedia.my



