BTS Media

Dua beradik kecil ditemukan rentung berpelukan dalam kebakaran di Sik

DUA beradik masing-masing berusia 16 bulan dan tiga tahun ditemukan rentung dalam keadaan berpelukan di atas katil selepas sebuah bangunan di Kampung Teloi Tua, Sik, Kedah musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Kedua-dua mangsa, seorang kanak-kanak perempuan dan abangnya, ditemukan di dalam sebuah pejabat pengurusan yang terletak bersebelahan pusat penyimpanan tong gas petroleum cecair (LPG).

Timbalan Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Superintenden Bryan Del Bungkias, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.11 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sik dikerahkan ke lokasi.

Beliau berkata, api berjaya dikawal kira-kira lima minit selepas anggota tiba, namun identiti kedua-dua mangsa masih dalam proses pengesahan.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kebakaran itu tidak mempunyai kaitan dengan pusat penyimpanan tong gas LPG berkenaan, memandangkan kedua-duanya terletak di bangunan berasingan dan jaraknya agak jauh.

Beliau berkata, setakat pemeriksaan awal, tiada tong gas ditemukan di lokasi kebakaran, manakala punca kejadian masih disiasat.

Pihak bomba juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari bangunan berhampiran bagi membantu siasatan, termasuk menentukan sama ada terdapat aktiviti memasak di dalam premis berkenaan sebelum kebakaran berlaku.

Katanya, pasukan forensik masih menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti keadaan premis serta kemungkinan terdapat ruang memasak di dalamnya.

Mayat kedua-dua kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

-BTSMedia.my

Leave a Comment