MENURUT Istana Negeri, Datuk Ismail Lasim perlu membuktikan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membolehkannya kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pengawal Diraja Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, berkata Ismail juga perlu mengemukakan senarai cadangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk dipertimbangkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, lapor NST.
Beliau berkata, Ismail ketika menghadap pagi tadi memaklumkan bahawa beliau tidak pernah mengemukakan atau bersetuju dengan penyerahan surat peletakan jawatan bertarikh 16 November.
Penghadapannya turut dihadiri Undang negeri.
Azizi berkata, kenyataan Ismail itu menjadikan dakwaan bahawa pihak istana mahu beliau terus kekal sebagai Menteri Besar tidak tepat dan tidak berasas.
Katanya, persoalan sama ada Ismail perlu kekal memegang jawatan itu tidak timbul memandangkan beliau sendiri menegaskan tidak pernah meletakkan jawatan.
Beliau menegaskan bahawa pihak istana akan mematuhi sepenuhnya peruntukan Perlembagaan Negeri serta konvensyen yang berkaitan dalam menyelesaikan kemelut berkenaan.
Menurutnya, Ismail perlu menunjukkan bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti ADUN negeri.
Azizi berkata, tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutnya serta pembentangan belanjawan negeri hanya akan ditentukan selepas perkara berkenaan diselesaikan mengikut Perlembagaan Negeri Sembilan.
Katanya, Yang di-Pertuan Besar berharap kemelut itu dapat diselesaikan segera demi kepentingan rakyat negeri berkenaan.
Istana turut menegaskan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Terdahulu, Ismail mendakwa Tuanku Muhriz memperkenankan beliau untuk terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar selepas menghadap baginda di Istana Hinggap, pagi tadi.
Beliau membuat pengumuman itu pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar selepas selesai menghadap, sambil menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Bagaimanapun, pada haari Isnin lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mendakwa Ismail telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Tuanku Muhriz.
Istana pada hari berikutnya menjelaskan bahawa peletakan jawatan itu hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar, selaras dengan Perlembagaan Negeri Sembilan 1959.
-BTSMedia.my



