BTS Media

Guru rugi hampir RM750,000 diperdaya ‘pegawai polis’

SEORANG guru sekolah menengah di Batu Pahat kehilangan hampir RM750,000 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis, sehingga sanggup menyerahkan kad ATM miliknya di sebuah gerai nasi lemak atas alasan membantu siasatan pihak berkuasa.

Mangsa berusia 54 tahun itu bukan sahaja kehilangan RM673,326.50 menerusi beberapa transaksi tanpa kebenaran, malah turut memasukkan RM75,000 ke dalam tiga akaun bank yang diberikan sindiket berkenaan, menjadikan keseluruhan kerugiannya RM748,326.50.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa mula menerima panggilan telefon pada akhir bulan Ogos daripada individu yang menyamar sebagai wakil sebuah hospital swasta di Rawang, Selangor.

Menurutnya, pemanggil mendakwa identiti mangsa telah disalahgunakan oleh pihak lain untuk membuat tuntutan insurans palsu sebelum panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Suspek kemudian mendakwa boleh membantu mangsa membuat laporan polis secara dalam talian, sebelum mengarahkannya menyerahkan kad ATM bagi tujuan siasatan yang kononnya melibatkan Bank Negara Malaysia.

Bimbang dirinya turut dikaitkan dengan kes penipuan tuntutan insurans itu, mangsa akur dengan arahan berkenaan dan meninggalkan kad ATM miliknya di sebuah gerai nasi lemak pada 3 September.

Shahrulanuar berkata, mangsa hanya menyedari dirinya menjadi sasaran penipuan selepas memeriksa akaun bank pada minggu lalu dan mendapati beberapa transaksi pemindahan wang kepada individu tidak dikenali berjumlah RM673,326.50.

Beliau berkata, mangsa turut membuat tiga transaksi deposit tunai berjumlah RM75,000 ke dalam tiga akaun bank berasingan menerusi mesin ATM dan mesin deposit tunai pada 4 November.

Mangsa hanya menyedari telah ditipu pada 15 November selepas menceritakan kejadian itu kepada kakaknya.

Shahrulanuar berkata, jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa ialah RM748,326.50.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan bagaimana sindiket berkenaan memperoleh nombor pengenalan peribadi (PIN) kad ATM mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Shahrulanuar menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan telefon daripada individu yang mendakwa mewakili jabatan kerajaan atau agensi penguatkuasaan, sebaliknya membuat pengesahan terus dengan pihak berkuasa berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment