OPERASI penerbangan di seluruh Amerika Syarikat kembali pulih selepas Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menarik balik arahan menghentikan semua pelepasan pesawat susulan gangguan komunikasi di pusat kawalan trafik udara.
Arahan henti operasi yang dikuatkuasakan pada petang hari Jumaat (13 November) itu menyebabkan ratusan penerbangan terpaksa dilencongkan, sekali gus mencetuskan gangguan besar terhadap perjalanan udara di negara berkenaan.
Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, berkata masalah komunikasi yang berlaku di beberapa pusat kawalan trafik udara serantau telah menjejaskan keupayaan agensi itu mengendalikan pergerakan pesawat antara lapangan terbang di seluruh negara.
Beliau berkata keadaan itu memaksa FAA mengambil langkah menghentikan pelepasan semua penerbangan atas alasan keselamatan.
Bagaimanapun, beberapa penerbangan domestik termasuk di Alaska dan Hawaii, serta penerbangan antarabangsa yang meninggalkan ruang udara AS, sudah dibenarkan berlepas sebelum arahan henti operasi ditarik balik sepenuhnya.
Sementara itu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Markwayne Mullin, berkata setakat ini tiada petunjuk bahawa gangguan berkenaan berpunca daripada serangan siber atau tindakan berniat jahat.
Sebaliknya, beliau menyifatkannya sebagai gangguan perkhidmatan telekomunikasi.
Kejadian itu merupakan arahan henti penerbangan seluruh negara yang pertama sejak Januari 2023, apabila kerosakan sistem komputer utama FAA turut menyebabkan operasi penerbangan terganggu.
Sebelum itu, kejadian seumpama kali terakhir berlaku selepas serangan pengganas 11 September 2001.
-BTSMedia.my



