MENTERI Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, menarik balik bantahan terdahulu terhadap kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sekali gus mengesahkan semula sokongannya terhadap institusi diraja negeri itu.
Perkembangan itu menyusul selepas Ismail mengadakan pertemuan dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, awal minggu ini bagi menyerahkan surat rasmi yang membatalkan bantahan berkenaan.
Surat bertarikh 10 November yang dilihat Berita Harian menyatakan Ismail menarik balik keseluruhan kandungan surat bantahannya bertarikh 17 September lalu.
Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kenyataan media Majlis Raja-Raja pada 14 Oktober serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun yang mengekalkan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Menurut surat berkenaan, tindakan itu selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, selain bertujuan memelihara institusi beraja dan memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar, aman serta teratur.
Ismail juga dijangka menghadap Tuanku Muhriz bagi menyatakan ikrar taat setia serta mendapatkan perkenan baginda untuk membolehkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang.
Persidangan DUN yang pada asalnya dijadualkan bermula pertengahan bulan Oktober lalu dibatalkan sebelum ditetapkan semula pada 26 November ini.
Kemelut membabitkan hubungan antara kerajaan negeri dengan pihak istana sebelum ini mencetuskan ketidaktentuan politik di Negeri Sembilan.
Ismail enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan perbincangan yang dikatakan berlangsung di peringkat kepimpinan UMNO negeri dan pusat.
-BTSMedia.my



