SEBANYAK RM79.16 juta kerugian direkodkan dalam tempoh 22 hari akibat pelbagai ancaman keselamatan siber, termasuk penggodaman sistem mata wang kripto dan kehilangan wang daripada akaun bank, menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Rusdi Mohd Isa, berkata sebanyak 16 laporan polis diterima antara 10 hingga 31 Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, 11 kes membabitkan mata wang kripto dengan kerugian RM42.82 juta akibat pencerobohan keselamatan perkakasan dan kehilangan aset digital.
Dua lagi kes melibatkan kehilangan wang daripada akaun bank, masing-masing membabitkan kerugian RM14.52 juta dan RM21.80 juta, termasuk satu kes yang melibatkan sebuah syarikat.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima laporan mengenai penggodaman skrin paparan LED di Kluang dan Bandar Sunway sehingga memaparkan kandungan tidak senonoh.
Sementara itu, statistik kesalahan mengikut Akta Jenayah Komputer 1997 menunjukkan peningkatan kepada 1,297 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, berbanding 1,174 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, jumlah kerugian mencatatkan penurunan kepada RM125.61 juta berbanding RM239.20 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Rusdi menjelaskan bahawa ancaman keselamatan siber ditakrifkan di bawah Seksyen 4 Akta Keselamatan Siber 2024 sebagai perbuatan atau aktiviti tanpa kebenaran sah yang boleh menjejaskan keselamatan sistem komputer.
Katanya, JSJK akan terus memperkukuh siasatan dan keupayaan analisis forensik digital, khususnya berkaitan mata wang kripto, selain mengenal pasti kelemahan sistem keselamatan.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama bersepadu dengan agensi berkaitan, termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) bagi perkara membabitkan sistem kewangan, manakala Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bertanggungjawab dalam aspek keselamatan siber negara.
Sehubungan itu, orang ramai yang menjadi mangsa serangan atau mengesan cubaan penggodaman diminta membuat laporan polis, walaupun belum mengalami sebarang kerugian.
-BTSMedia.my



