BTS Media

Hampir 3 juta rakyat Singapura bakal terima bantuan tunai sehingga S$250 mulai Disember

HAMPIR tiga juta rakyat Singapura berusia 21 tahun ke atas pada tahun 2027 bakal menerima bayaran tunai antara S$100 (RM316) hingga S$250 (RM792) mulai 8 Disember ini menerusi pembayaran terakhir di bawah Pakej Jaminan (Assurance Package).

Kementerian Kewangan Singapura dalam kenyataan pada hari Selasa memaklumkan, pembayaran itu merupakan fasa terakhir daripada peruntukan tambahan S$3 bilion yang diumumkan menerusi Belanjawan 2023 bagi membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.

Kadar bantuan ditentukan berdasarkan pendapatan tahunan serta jumlah hartanah yang dimiliki penerima.

Mereka yang memiliki tidak lebih daripada sebuah hartanah dan berpendapatan tahunan S$39,000 atau kurang layak menerima bayaran maksimum S$250.

Penerima berpendapatan melebihi S$39,000 tetapi kurang daripada S$100,000 pula akan memperoleh S$150, manakala mereka yang berpendapatan melebihi S$100,000 hanya menerima S$100.

Bagaimanapun, pemilik lebih daripada sebuah hartanah hanya layak menerima S$100 tanpa mengira jumlah pendapatan tahunan mereka.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa penerima akan menerima pemberitahuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan pengenalan penghantar gov.sg sebelum dan selepas wang dikreditkan.

Mereka yang tidak mempunyai nombor telefon berdaftar dengan Singpass pula akan dimaklumkan menerusi surat yang dihantar ke alamat masing-masing.

Bagi memastikan bayaran diterima seawal 8 Disember, rakyat Singapura digalakkan menghubungkan nombor kad pengenalan (NRIC) dengan akaun PayNow selewat-lewatnya 24 November.

Bagi mereka yang tidak menggunakan kemudahan PayNow-NRIC tetapi mempunyai akaun DBS/POSB, OCBC atau UOB, maklumat akaun bank boleh dikemas kini menerusi laman web govbenefits sebelum 30 November.

Pembayaran melalui kaedah Giro itu dijadualkan diterima selewat-lewatnya 17 Disember.

Secara keseluruhan, rakyat Singapura yang layak dijangka menerima bantuan tunai terkumpul sehingga S$2,250 sepanjang tempoh lima tahun dari 2022 hingga 2026 menerusi Pakej Jaminan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment