PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan berlangsung pada 12 Disember ini. Seramai 2,058,781 pengundi berdaftar layak menentukan wakil rakyat bagi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ramlan Harun, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 8 Disember.
Beliau berkata writ pilihan raya telah dikeluarkan hari ini selepas SPR menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran DUN Sarawak daripada Speaker DUN negeri itu.
Menurutnya, daripada keseluruhan pengundi berdaftar, seramai 13,575 merupakan anggota tentera dan 10,833 anggota polis, termasuk pasangan masing-masing.
Ramlan berkata permohonan undi pos bagi semua kategori, sama ada dalam mahupun luar negara, telah dibuka sejak 26 Oktober lalu.
Bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya, SPR telah melantik 82 pegawai pengurus pilihan raya dengan bantuan 305 penolong pegawai pengurus di seluruh Sarawak.
Selain itu, sebanyak 82 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya turut ditubuhkan bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.
Pasukan berkenaan terdiri daripada wakil polis, pihak berkuasa tempatan serta calon yang bertanding.
Ramlan berkata daftar pemilih yang akan digunakan ialah daftar terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan September 2026, yang dikemas kini pada 25 Oktober lalu.
-BTSMedia.my



