APLIKASI navigasi tempatan, TuJu, kini mengarahkan pengguna ke Google Maps apabila fungsi panduan perjalanan diaktifkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status sebenar keupayaan navigasi aplikasi berkenaan.
Perubahan itu dikesan menerusi ujian yang dijalankan oleh StarLifestyle, yang mendapati aplikasi TuJu masih boleh dibuka seperti biasa, namun pengguna akan menerima notifikasi bahawa mereka perlu beralih ke Google Maps sebaik sahaja memilih fungsi navigasi.
Pengguna diberi pilihan untuk membatalkan tindakan berkenaan atau menekan butang “Go” bagi meneruskan perjalanan menerusi Google Maps.
Bagaimanapun, keadaan berbeza dilaporkan bagi versi iOS yang masih boleh dibuka seperti biasa, tetapi setakat ini tidak menyediakan fungsi navigasi yang tertera.
Meskipun fungsi navigasinya berdepan perubahan, beberapa ciri lain TuJu masih boleh digunakan, termasuk maklumat trafik, lokasi kawasan rehat dan rawat (R&R) serta paparan kamera pemantauan lebuh raya.
Menurut laporan itu, versi Android TuJu menerima kemas kini yang menyatakan pembaikan pepijat pada 30 Oktober lalu, manakala versi di Apple App Store kali terakhir dikemas kini kira-kira 11 bulan lalu.
Perkembangan terbaharu itu berlaku selepas TuJu mengalami masalah teknikal pada 22 Oktober lalu susulan peningkatan mendadak jumlah pengguna.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika itu memaklumkan menerusi Facebook bahawa aplikasi tersebut memerlukan penambahbaikan sistem, menyebabkan fungsi navigasi terganggu buat sementara waktu.
Laporan susulan pada 23 Oktober pula menyebut kerja-kerja kemas kini dan pembaikan sistem disasarkan selesai menjelang 6 November, dan pihak TuJu berjanji menyalurkan perkembangan pemulihan menerusi saluran rasmi mereka.
Aplikasi itu sebelum ini mendapat perhatian selepas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengetengahkannya sebagai alternatif kepada Waze, susulan larangan penggunaan aplikasi berkenaan oleh penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi atas alasan keselamatan negara dan kebimbangan berkaitan privasi data.
Larangan itu dikaitkan dengan kebimbangan bahawa Waze tertakluk kepada undang-undang kerajaan Israel.
-BTSMedia.my



