BTS Media

Google Maps kesan pesawat penumpang dikatakan terhempas di tengah hutan Australia

APLIKASI dalam talian Google Maps telah mengesan sebuah pesawat penumpang di tengah-tengah hutan hujan tropika Australia.

Apakah benar dakwaan itu?

Menurut seorang pengguna Google Maps, dia melihat pesawat itu berada betul-betul di tengah hutan tebal di sebuah kawasan lapang Banjaran Caldwell yang terletak kira-kira 249 kilometer selatan pantai Port Douglas, Queensland, lapor The New York Post.

Pesawat yang dikenal pasti sama ada Airbus A320 atau Boeing 737 itu sebenarnya sedang terbang pada ketinggian sangat rendah, justeru memberikan gambaran bahawa ia berada di atas tanah.

Pegawai Biro Keselamatan Pengangkutan Australia berkata ia mungkin hanya disebabkan gangguan teknikal pada aplikasi Google Maps ketika itu, yang dipanggil fenomena “imej hantu”, lapor Cairns Post.

ATSB menambah bahawa tiada laporan diterima berhubung mana-mana pesawat hilang setakat ini.

Pada 2016,imej sebuah pesawat yang dikatakan terhempas kelihatan di dasar Tasik Minneapolis, Amerika Syarikat.

Menjelaskan keadaan sebenar, pihak Google berkata apa yang dilihat itu sebenarnya kompilasi beberapa imej yang kelihatan seperti pesawat itu berada di dasar tasik.

“Objek yang bergerak pantas seperti pesawat sering muncul dalam hanya satu daripada banyak imej yang kami gunakan untuk kawasan tertentu. Apabila ini berlaku, bayangan objek yang bergerak pantas kadang-kadang dapat dilihat,” kata pegawai Google,Susan Cadrecha.

Namun demikian, Google masih belum mengesahkan tentang apa sebenarnya dilihat di hutan  Queensland itu.

-BTS Media

Leave a Comment