BTS Media

Penumpang pesawat buat rakaman ‘live stream’ Facebook detik sebelum terhempas

Oleh Zainal AS Rashid

SEORANG penumpang dari India membuat ‘livestream’ detik terakhir sebelum pesawat yang dinaikinya terhempas di bandar Pokhara, Nepal.

Sebuah video yang tular menunjukkan Sonu Jaiswal menggunakan Facebook Live ketika pesawat berkipas enjin berkembar yang dikendalikan oleh Yeti Airlines itu, cuba mendarat di lapangan terbang Pokhara pada Ahad (15 Jan).

Rakaman itu menunjukkan pesawat tersebut terbang perlahan di ruang udara bandar berhampiran lapangan terbang di mana ia sepatutnya mendarat, lapor ANN.

Jaiswal kemudian menghalakan kamera pada dirinya sendiri dan tersenyum, sebelum menghalakan kamera untuk merakam keadaan penumpang lain yang santai bersembang dan ketawa dalam pesawat.

Beberapa saat kemudian, telefon hilang fokus dan kedengaran bunyi dentuman dan teriakkan menandakan sesuatu telah berlaku, namun kamera terus berfungsi merakam keadaan.

Kelihatan api dan bunyi enjin seakan rosak. Apabila kamera fokus semula, ia sudah berada di atas tanah sambil menghala ke arah pokok sebelum hilang fokus, dan hanya kedengaran bunyi pernafasan kuat sebelum ‘livestream’ terputus.

Pesawat yang membawa 68 penumpang dan empat anak kapal itu berlepas dari ibu negara Nepal, Kathmandu dan berada hanya berada 30 minit di udara sebelum terhempas,.

Tiada seorang pun dipercayai terselamat dalam apa yang dianggap sebagai menjadi bencana udara terburuk di Nepal sejak hampir 30 tahun.

-BTS Media

Leave a Comment