BTS Media

Kotak hitam pesawat Nepal terhempas di pergunungan Himalaya ditemukan

GAMBAR ATAS: Bangkai pesawat di lokasi.

 

Anggota penyelamat Nepal telah mengesan mayat kesemua 22 orang di dalam pesawat jenis Twin Otter Tara Air yang terhempas di pergunungan Himalaya.

Menurut pihak berkuasa penerbangan negara itu pada Selasa (31 Mei) proses pengesanan identiti mayat telah siap , lapor The Himalayan Times.

Sementara itu, sepasukan pemandu pendakian antarabangsa dan tempatan berjaya mendapatkan kotak hitam pesawat bersama mayat terakhir pagi semalam.

Penduduk tempatan dilaporkan banyak membantu untuk mengesan bangkai pesawat tersebut berdasarkan pengetahuan rupa bumi di lokasi tragedi.

Pesawat Twin Otter yang digunakan oleh Tara Air, Nepal.

Setelah anggaran lokasi dikenal pasti sebuah helikopter bersama pasukan mencari dan menyelamat yang dibantu oleh anggota tentera bergerak berpandukan koordinat GPS pada paras ketinggian 4,100 meter di mana 15 mayat ditemukan.

Mayat kemudian dibawa ke sebuah kawasan datar tinggi yang terletak kira-kira 70 meter dari situ.

Pasukan penyelamat berdepan dengan kesulitan kerana bangkai pesawat itu berada dalam posisi menegak di lereng gunung yang curam.

-BTS Media

Leave a Comment