PENIAGA yang berulang kali melanggar larangan penggunaan beg plastik sekali guna di premis perniagaan di Perak berdepan tindakan lebih tegas, termasuk pembatalan lesen perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim, berkata larangan itu dikuatkuasakan sepenuhnya sejak 1 September lalu selepas melalui tempoh peralihan selama enam bulan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.
Menurutnya, penguatkuasaan dilaksanakan secara berperingkat oleh kesemua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT), bermula dengan notis amaran sebelum tindakan kompaun dikenakan terhadap mereka yang ingkar.
Beliau berkata, PBT turut mempunyai kuasa menarik balik lesen perniagaan sekiranya pengusaha terus mengulangi kesalahan berkenaan.
Katanya, satu garis panduan khusus juga sedang dimuktamadkan bagi memastikan pelaksanaan dan penguatkuasaan larangan itu diseragamkan di seluruh negeri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khalil Yahaya (PN-Kubu Gajah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
Teh menjelaskan bahawa dasar berkenaan diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 17 Disember tahun lalu sebelum mula berkuat kuasa pada 1 Mac tahun ini.
Larangan itu meliputi pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai di stesen minyak, rangkaian kedai, farmasi serta premis lain yang dilesenkan PBT.
Bagi menggalakkan penggunaan beg guna semula, kerajaan negeri turut mempergiat Kempen Tiada Beg Plastik Sekali Guna menerusi tema ‘Moh Guna Beg Sendiri!’, selain mengagihkan beg mesra alam secara percuma.
Menurutnya, kempen itu mendapat sambutan positif daripada pengguna, pengusaha pasar raya, peniaga dan penjaja.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar bertujuan menggantikan beg plastik, sebaliknya mengubah sikap masyarakat terhadap pengurangan sisa dan penggunaan berlebihan, selaras dengan prinsip 5R iaitu menolak, mengurangkan, menggunakan semula, mengguna pakai semula untuk tujuan lain dan mengitar semula.
Sementara itu, Teh berkata pemeriksaan pihak berkuasa mendapati tiada kilang pembuatan beg plastik haram beroperasi di Perak.
Bagaimanapun, kilang pembuatan plastik dan pembungkusan yang mempunyai lesen masih dibenarkan beroperasi bagi memenuhi keperluan industri, termasuk pengeluaran guni beras serta beg bersaiz besar untuk produk makanan laut.
-BTSMedia.my



