SEJAK kebelakangan ini kerap terdengar dakwaan kononnya pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak serius bertindak terhadap peniaga tanpa lesen, terutamanya warga asing.
Terbaharu, mereka telah bertindak merampas peralatan daripada sembilan pengendali perniagaan tanpa lesen di Desa Melawati dan Desa Setapak kerana menghalang ruang awam.
Tindakan penguatkuasaan itu adalah sebahagian daripada operasi khas menyasarkan gerai haram dan perniagaan dikendalikan warga asing yang semakin banyak meceroboh ruang pejalan kaki dengan meletakkan meja, kerusi serta peralatan lain.
Tindakan ini diambil susulan kritikan orang ramai yang semakin meningkat terhadap DBKL kerana didakwa tidak mengambil tindakan tegas terhadap warga asing yang mengendalikan perniagaan dan gerai makanan tanpa lesen di seluruh bandar.
Dalam satu kenyataan, DBKL berkata perniagaan terbabit didapati beroperasi tanpa lesen sah dan meletakkan barangan di kaki lima serta laluan pejalan kaki, hingga mengganggu laluan orang awam.
“Tindakan diambil terhadap premis yang meletakkan meja, kerusi dan peralatan perniagaan di kawasan awam tanpa kebenaran, termasuk yang dikendalikan oleh warga asing,” menurut kenyataan itu.
DBKL menjelaskan bahawa rampasan itu adalah sebahagian daripada kempen operasi berterusan terhadap gerai yang dikendalikan warga asing dan halangan laluan di kawasan Wangsa Maju.
Pihak berkuasa bandar raya itu berkata bahawa usaha penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan, dan orang ramai digalakkan supaya melaporkan pelanggaran serupa melalui laman web rasmi DBKL.
-BTS Media