BTS Media

Pemandu lori treler nahas ragut empat nyawa di Bentong miliki 15 saman

PEMANDU lori treler terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pada hari Ahad didapati mempunyai 15 saman trafik.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata sampel darah lelaki berusia 40 tahun itu turut diambil untuk analisis toksikologi bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, pemandu lori berkenaan masih menerima rawatan lanjut akibat kecederaan di bahagian kepala dan pinggul.

Beliau memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan serta mengenal pasti punca keseluruhan kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Yahaya berkata kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu melibatkan sebuah lori treler membawa muatan habuk besi dan sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 55 tahun bersama tiga penumpang berumur antara setahun hingga 58 tahun.

Siasatan awal mendapati lori treler itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan sebelum dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit dan melalui selekoh di lokasi kejadian.

Menurut beliau, lori terbabit kemudian terbalik ke bahagian kiri jalan sebelum merempuh sebuah kereta yang berada di lorong kiri.

Akibat kemalangan itu, pemandu kereta serta tiga penumpangnya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata semua mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Temerloh untuk bedah siasat pada hari Isnin.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.

Difahamkan, lori treler berkenaan turut terbakar ketika operasi mengalihkan kenderaan dijalankan selepas semua mangsa berjaya dikeluarkan.

  – BTSMedia.my

Leave a Comment