PERDANA Menteri, Anwar Ibrahim, memberi amaran kepada penjawat awam supaya tidak membiarkan kerenah birokrasi dan kelewatan pelaksanaan menjejaskan keberkesanan Belanjawan 2027.
Beliau berkata, kejayaan belanjawan itu bukan sekadar bergantung pada pengumuman dasar, sebaliknya ditentukan oleh kecekapan jentera kerajaan dalam melaksanakan setiap inisiatif yang dirancang.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata penjawat awam perlu memastikan segala langkah kerajaan dilaksanakan dengan pantas dan berkesan, terutama selepas pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan pendapatan rakyat serta mengurangkan kos sara hidup.
Antara langkah itu termasuk kenaikan gaji, penurunan harga petrol dan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat.
Beliau menegaskan bahawa usaha kerajaan itu akan menjadi sia-sia sekiranya penjawat awam masih bekerja secara perlahan dan gagal menunjukkan rasa tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.
Anwar turut membangkitkan kelewatan dalam urusan pentadbiran, termasuk surat yang sepatutnya boleh dijawab dalam tempoh sehari tetapi mengambil masa sehingga dua minggu untuk diselesaikan.
Menurut beliau, kelewatan sedemikian tidak sepatutnya berlaku ketika kerajaan berusaha memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.
-BTSMedia.my



