PEMANDU yang menyebabkan kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini.
Raeven Goh Wey Haur, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Aliaa Anwar pada hari Khamis selepas didakwa berkaitan kejadian pada 10 Oktober lalu.
Dia berdepan pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, memandu secara melulu atau berbahaya serta gagal memberhentikan kenderaan dan melaporkan kemalangan.
Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dia berdepan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua mengikut Seksyen 42(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.
Bagi pertuduhan ketiga di bawah Seksyen 52(1), tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon jaminan RM50,000 bagi pertuduhan pertama, RM15,000 bagi pertuduhan kedua dan RM10,000 bagi pertuduhan ketiga.
Beliau turut meminta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai bagi memastikan tertuduh tidak meninggalkan negara.
Bagaimanapun, peguam Kailash Sharma yang mewakili Goh berhujah bahawa anak guamnya tidak berisiko melarikan diri kerana keluarganya memberikan kerjasama penuh kepada polis selepas kejadian.
Menurut peguam itu, keluarga tertuduh memberikan maklumat mengenai lokasi hospital tempat anak guamnya menerima rawatan, termasuk nombor katilnya, dalam tempoh 24 jam pertama selepas kemalangan.
Beliau turut mencadangkan bapa tertuduh yang berusia 55 tahun menjadi penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan keseluruhan RM36,000, iaitu RM22,000 bagi pertuduhan pertama, RM12,000 bagi pertuduhan kedua dan RM2,000 bagi pertuduhan ketiga, dengan bapa tertuduh sebagai penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya dan menggantung lesen memandunya sementara menunggu penyelesaian kes.
Kes ditetapkan untuk penyerahan dokumen dan sebutan semula pada 19 November ini.
Dalam kejadian pada 10 Oktober lalu, kereta yang dipercayai dipandu tertuduh didakwa merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan yang dinaiki seorang bapa bersama anak perempuannya berusia lima tahun di Jalan Kuching.
Perlanggaran itu mencetuskan kemalangan berantai membabitkan enam kenderaan, termasuk sebuah motosikal.
Tertuduh juga didakwa meninggalkan tempat kejadian tanpa memeriksa keadaan mangsa atau kenderaan lain yang terbabit.
Kemalangan itu mengorbankan kanak-kanak berkenaan, manakala bapanya dan seorang penunggang motosikal berusia 33 tahun dilaporkan cedera.
-BTSMedia.my



