BTS Media

Kanak-kanak dua tahun maut tertinggal dalam kereta

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dipercayai meninggal dunia akibat keletihan haba selepas ditinggalkan dalam sebuah kereta oleh ibunya sebelum wanita itu masuk bekerja pada pagi Selasa (27 Jan).

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 6.15 petang berhubung seorang kanak-kanak yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati si ibu terlupa menghantar anaknya ke pengasuh sekitar jam 8 pagi sebelum meninggalkan kanak-kanak itu di dalam kereta.

Menurutnya, wanita berkenaan hanya menyedari anaknya masih berada di dalam kenderaan selepas tamat waktu kerja kira-kira jam 5 petang.

ACP Azahar memaklumkan pasukan perubatan dari Hospital Tuanku Ja’afar yang dikejarkan ke lokasi mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat, manakala ibu mangsa yang berusia 35 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

BTSMedia.my

Leave a Comment