SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia akibat strok haba di Tanah Putih, Gua Musang, pada hari Isnin (20 Okt), selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, polis menerima laporan pada pukul 3.50 petang daripada seorang lelaki yang menemui kanak-kanak berkenaan di dalam kenderaan tersebut.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gua Musang namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat strok haba.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sik mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memastikan keselamatan anak-anak, terutama supaya tidak meninggalkan mereka tanpa pengawasan di dalam kenderaan.
Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-9121222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, kes tersebut merupakan kes pertama kematian kanak-kanak akibat strok haba yang direkodkan di negeri itu tahun ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak berkenaan dipercayai berada di dalam kereta selama tiga hingga empat jam sebelum tidak sedarkan diri.
 – BTSMedia.my