BTS Media

Godam sistem darjah kebesaran Pahang: Dua bekas kakitangan SUK dipenjara

DUA bekas kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua tahun selepas didapati bersalah mengubah suai tanpa kebenaran sistem pengurusan darjah kebesaran dan anugerah negeri itu, enam tahun lalu.

Mohd Isa Mohd Yusof, 40, dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah atas 26 pertuduhan, manakala Amer Syafeeq Aziz, 34, dihukum penjara dua tahun atas dua pertuduhan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Mustapha, menjatuhkan hukuman itu selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh dibenarkan menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Permohonan itu dikemukakan peguam masing-masing selepas keputusan sabitan dibacakan, meskipun pihak pendakwaan membantah atas alasan kesalahan berkenaan serius dan tidak wajar diberikan penangguhan.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM130,000 terhadap Mohd Isa dan RM10,000 bagi Amer Syafeeq sementara menunggu proses rayuan.

Kedua-dua lelaki itu sebelum ini didakwa secara berasingan pada 28 Disember 2022 kerana menggunakan nombor pengenalan masing-masing tanpa kebenaran untuk memasukkan nama individu ke dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan anugerah Pahang.

Mohd Isa didakwa memasukkan nama 26 individu, manakala Amer Syafeeq melibatkan tiga individu ke dalam sistem berkenaan.

Perbuatan itu didakwa membolehkan individu terbabit disenaraikan sebagai penerima gelaran Datuk dan Datuk Seri yang dikurniakan Sultan Pahang, walaupun nama mereka tidak terdapat dalam senarai penerima yang diluluskan.

Kesalahan itu dilakukan antara 19 Februari 2020 hingga 12 Oktober 2021 di Pejabat SUK Pahang.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana mengubah suai kandungan komputer tanpa kebenaran, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

-BTSMedia.my

Leave a Comment