Akaun bank lelaki akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata ia adalah perkara yang diputuskan kerajaan bagi menghargai kepentingan wanita, khususnya yang diceraikan suami.
“Apabila kes mahkamah dimenangi oleh wanita dalam kes tuntutan nafkah, kita telah buat keputusan supaya bank membekukan akaun bekas suami yang tidak membayar nafkah.
“Selepas keputusan diperoleh, bank akan membuat potongan terus daripada akaun bekas suami,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.
Ismail berkata, sempena sambutan Hari Wanita 2022 baru-baru ini kerajaan komited memartabatkan golongan wanita antaranya memberi kebenaran kepada isteri yang kematian suami untuk bekerja dari rumah sehingga tamat edah.
Sebelum ini, Ismail berkata ketua jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi diwajibkan membenarkan wanita yang kematian suami bekerja dari rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian bagi membolehkan urusan keluarga serta peninggalan suami dapat diselesaikan.