Oleh Zainal AS Rashid
Kelima-lima bank digital yang diberikan lesen untuk beroperasi di negara ini tidak akan menjejaskan sektor perbankan negara dalam jangka sederhana.
Dalam satu kenyataan, firma penarafan antarabangsa Fitch Ratings berkata masa depan perbankan digital secara jangka panjang adalah baik, namun ia akan membentuk peluang pemasaran tersendiri dalam jangka sederhana.
Ini bermakna bank digital tidak mungkin menjadi pesaing utama kepada bank tradisional dalam tempoh lima tahun akan datang, kerana had kawal selia yang dikenakan pada aktiviti mereka.
Rangka kerja pelesenan Bank Negara Malaysia (BNM) menghadkan aset bank digital kepada RM3 bilion (AS$688 juta) semasa fasa asas, dalam mana mereka tidak boleh berundur hingga pertengahan 2026, dan selewat-lewatnya pada pertengahan 2029.
Menurut kenyataan itu lagi, ini bermakna kunci kira-kira agregat bank digital akan berada pada 1% dalam sistem secara jangka sederhana mengikut unjuran paling baik.
Minggu lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa lesen perbankan digital telah diberikan kepada lima konsortium, termasuk syarikat penghantaran Grab, pasaran dalam talian Shopee, dan syarikat fintech, Boost.
Tiga konsortium diberikan lesen am, iaitu Boost Holdings Bhd-RHB Bank Bhd (Boost); GXS Bank Pte Ltd-Kuok Brothers Sdn Bhd (Grab); dan Sea Ltd-YTL Digital Capital Sdn Bhd (Shopee). Dua diberikan lesen perbankan Islam, iaitu AEON-MoneyLion Inc; dan KAF Investment Bank Sdn Bhd.
Fitch berkata terdapat halangan pasaran yang perlu diatasi oleh bank digital sebelum memasuki fasa untung, termasuk harga yang kompetitif dan penguasaan teguh pasaran tempatan dalam kalangan bank-bank tradisional.
Firma itu berpendapat bahawa bank-bank tempatan terkemuka mampu memberikan respons pantas untuk bersaing dengan bank digital.
Kelebihan tersedia bank besar tidak mungkin terhakis dalam jangka sederhana, walaupun apabila persaingan menjadi semakin sengit.
“Bank digital diwujudkan ketika negara sedang menjalani proses pemulihan ekonomi yang memberikan bank baharu prospek baik untuk mengembangkan kunci kira-kira pada tahun-tahun awalnya.
Walau bagaimanapun, skala ekonomi akan sukar dicapai ketika had saiz dan persaingan berkemungkinan menjadi bertambah hebat.
Risiko kualiti aset jangka terdekat adalah tinggi, kerana sektor perbankan muncul dari tempoh pelepasan hutang yang meluas.
-BTS Media