SATU tulisan yang ditinggalkan di atas tanah dipercayai menjadi petunjuk bahawa pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49, berjaya tiba di puncak Gunung Batu Putih berhampiran Tapah.
Seorang anggota Pasukan Malim Gunung Perhutanan Perak (MGP) yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz berkata beliau menemui tulisan tersebut ketika tiba di puncak gunung sebagai petugas belakang bagi ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman.
Menurutnya, Jaslinda sememangnya berjaya sampai ke puncak, namun tidak meninggalkan sebarang petunjuk mengenai arah yang diambil atau laluan digunakan selepas itu. Beliau berkata Jaslinda hanya memaklumkan bahawa dirinya telah tiba di puncak.
Hafiz berkata tulisan yang ditemui berbunyi “HAFIZ AMBIK GAMBAR AKAK DH SAMPAI”. Menurutnya, nota itu dipercayai ditinggalkan kerana telefon bimbit Jaslinda kehabisan bateri sejak awal pendakian.
Beliau berpendapat Jaslinda kemungkinan tiba di puncak Gunung Batu Putih sekitar pukul 10 pagi. Hafiz berkata beliau pula tiba kira-kira pukul 10.45 pagi dan menyedari kewujudan tulisan tersebut sekitar pukul 11 pagi.
Katanya, nota berkenaan dipercayai ditinggalkan bagi memaklumkan kepadanya bahawa Jaslinda telah berjaya sampai ke puncak. Beliau turut memaklumkan bahawa beliau kemudian mengambil gambar tulisan itu menggunakan telefon bimbitnya.
Sementara itu, sebuah dron telah digunakan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda yang dilaporkan hilang sejak 23 Mei ketika melakukan pendakian di gunung berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sayani Saidon, berkata kawasan Sungai Ayer Busok akan menjadi fokus operasi SAR kerana dipercayai merupakan laluan yang mungkin digunakan oleh pendaki terbabit untuk mendapatkan sumber air.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan memulakan pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 peserta lain serta dua malim gunung MGP pada pukul 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Beliau kali terakhir dilihat oleh seorang malim gunung MGP kira-kira pukul 7.30 pagi pada 24 Mei ketika meneruskan pendakian ke puncak Gunung Batu Putih selepas berhenti di satu lokasi bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan semasa pendakian tersebut.
–BTSMedia.my



