ORANG ramai yang mahu melaporkan salah laku anggota penguat kuasa perlu menggunakan nombor WhatsApp baharu Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), iaitu 03-8880 5650, mulai hari ini.
EAIC memaklumkan nombor talian tetap itu menggantikan nombor telefon bimbit terdahulu, 019-355 5215, sebagai langkah memudahkan pengurusan dan penerimaan aduan orang awam.
Saluran WhatsApp berkenaan mula diperkenalkan pada 1 April 2024 bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pelanggaran prosedur oleh pegawai agensi penguatkuasaan di bawah seliaan suruhanjaya itu.
Menurut EAIC, pengadu perlu menaip perkataan “ADUAN SALAH LAKU” sebelum menyertakan nama penuh, maklumat perhubungan, nama agensi terbabit serta butiran kesalahan yang didakwa berlaku.
Pengadu juga boleh melampirkan bukti sokongan seperti gambar, rakaman video dan dokumen digital bagi membantu siasatan.
Selain WhatsApp, orang ramai turut boleh mengemukakan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan dan Penyiasatan (SPAPS) secara dalam talian, e-mel aduan@eaic.gov.my atau hadir sendiri ke Kaunter Aduan dan Pusat Khidmat Pelanggan EAIC di Aras G, Menara Usahawan, Putrajaya.
Maklumat lanjut mengenai tatacara dan panduan membuat aduan boleh diperoleh menerusi portal rasmi suruhanjaya itu di www.eaic.gov.my.



