SEORANG pendaki Malaysia menjadi mangsa terbaharu kemalangan di Gunung Rinjani, Indonesia, apabila terjatuh ketika dalam pendakian menuju ke Danau Segara Anak pada hari Jumaat lalu.
Mangsa mengalami patah pinggul dan cedera di kepala, selepas terjatuh kira-kira 200 meter sebelum tiba di jambatan menuju ke tapak popular itu.
Ketua Pusat Taman Nasional Gunung Rinjani Yarman, mengesahkan kejadian tersebut yang berlaku sekitar pukul 2:20 petang waktu tempatan.
Beliau berkata bahawa operasi menyelamat dilancarkan serta-merta selepas menerima maklumat awal.
Yarman memberitahu media tempatan pada hari Sabtu bahawa maklumat awal menunjukkan mangsa masih mampu berjalan perlahan walaupun mengalami kecederaan pada kaki dan hentakan di kepala.
Satu pasukan telah dihantar ke lokasi untuk memberikan rawatan kecemasan dan menjalankan operasi menyelamat.
Menurutnya, mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dipindahkan ke pos kawalan terdekat, dan jika perlu dirujuk ke hospital berdekatan.
Beliau menasihatkan semua pendaki agar lebih berhati-hati dan tidak memandang remeh cabaran ketika mendaki Gunung Rinjani.
Ini kerana topografi Rinjani sangat mencabar dan pendaki perlu berhati-hati, tidak memaksa diri jika penat, serta berehat atau mendapatkan bantuan segera jika menghadapi kesukaran.
Ini merupakan insiden kedua melibatkan warga asing dalam tempoh seminggu di gunung berapi terkenal itu.
Pada 21 Jun, seorang pendaki Brazil, Juliana Marins, 27, maut selepas terjatuh ketika mendaki puncak Rinjani.
-BTS Media