BEKAS setiausaha sulit kanan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad mendakwa wujud gerakan sulit yang diketuai Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi menyingkirkan presiden Bersatu itu menerusi dakwaan sokongan luar secara tidak sah.
Menurut Marzuki, bagi menjayakan rancangan tersebut, Hamzah dikatakan cuba mempengaruhi kira-kira 120 ketua bahagian Bersatu untuk mengumpul tandatangan bagi mendesak Muhyiddin berundur dengan menggunakan dua naratif utama.
Marzuki mendakwa, naratif pertama yang digunakan ialah kononnya Hamzah mendapat sokongan daripada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, Hamzah didakwa mendakwa presiden PAS menyokong usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin.
Katanya lagi, seorang bekas ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Hamzah pernah memuat naik gambar pertemuan antara Hamzah, Abdul Hadi serta beberapa ahli Parlimen Bersatu dan PAS di White House, iaitu pejabat Hamzah di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, sambil mendakwa sokongan tersebut diberikan dalam pertemuan itu.
Marzuki berkata beliau pernah memaklumkan perkara itu kepada seorang pemimpin kanan PAS, namun individu berkenaan menafikan penglibatan Abdul Hadi dalam gerakan tersebut.
Bagi naratif kedua pula, Marzuki mendakwa Hamzah menyebarkan dakwaan bahawa Umno bersedia bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan, namun syaratnya ialah Muhyiddin perlu disingkirkan terlebih dahulu.
Menurutnya, Hamzah mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menetapkan syarat supaya Muhyiddin disingkirkan sebelum sebarang kerjasama dapat diwujudkan.
Bagaimanapun, Marzuki berkata beliau telah mendapatkan penjelasan daripada beberapa pemimpin kanan Umno yang menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak benar dan menegaskan tiada syarat sedemikian ditetapkan.
Beliau turut mendakwa pemimpin Umno berkenaan memaklumkan bahawa parti itu tidak mempercayai Hamzah.
Marzuki berkata, faktor itulah yang menyebabkan semua usaha Hamzah untuk “tebuk atap” termasuk dari Dubai hingga Bangkok gagal.
Beliau turut mendakwa pernah timbul cerita dalam kalangan ketua bahagian Bersatu mengenai hubungan rapat Hamzah dengan Istana Negara.
Namun begitu, katanya, dakwaan tersebut sukar disahkan kerana hanya individu tertentu mempunyai akses kepada pihak Istana.
Marzuki turut mendakwa Hamzah enggan mencabar Muhyiddin bagi jawatan presiden Bersatu pada pemilihan parti kerana menyedari sokongan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu masih kuat.
Sebaliknya, beliau mendakwa Hamzah yang menang jawatan timbalan presiden tanpa bertanding atas sokongan Muhyiddin, mula menggerakkan usaha menjatuhkan presiden parti sejurus selepas disahkan memegang jawatan tersebut.
Menurut Marzuki, Perlembagaan Bersatu menetapkan tugas timbalan presiden adalah membantu presiden, namun beliau mendakwa Hamzah bukan sahaja gagal membantu Muhyiddin malah menjalankan gerakan untuk menjatuhkan presiden secara terbuka selepas dilantik ke jawatan itu.
–BTSMedia.my



