Oleh Yusoff A. Shariff
PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau telah menerima maklumat mengenai usaha terancang untuk melemahkan parti itu dan gabungan Perikatan Nasional (PN) dengan memikat dan menakut-nakutkan ahli Parlimennya.
Beliau dengan tegas mengisytiharkan Bersatu tidak akan tunduk kepada tekanan sedemikian dan tindakan lebih tegas akan diambil terhadap dua lagi ahli parti yang menyokong Anwar Ibrahim.
Muhyiddin menyifatkan tindakan mereka sebagai bertentangan dengan pendirian parti, pelanggaran disiplin serius, dan pengkhianatan terhadap mandat rakyat, yang memilih mereka berdasarkan kepercayaan terhadap prinsip PN.
Beliau berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan mengadakan mesyuarat malam ini untuk membincangkan perkembangan tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin menggesa ahli Bersatu supaya bertenang dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap prinsip parti, sementara pucuk pimpinan parti menangani situasi.
Pada hari Rabu, Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik secara terbuka menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan Anwar, tetapi berkata mereka masih ‘setia’ sebagai ahli dalam Bersatu.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memulakan langkah (sokong Anwar) pada 12 Okt, diikuti Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman dua minggu kemudian.
-BTS Media