DATUK Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain secara rasmi menamatkan tugas sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) apabila kembali berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk penugasan baharu di bawah pejabat Ketua Polis Negara (KPN).
Berdasarkan notis pertukaran perkhidmatan dalaman, Shuhaily kini ditempatkan di Sekretariat Perancangan Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa KPN dengan mengekalkan pangkat Komisioner Polis.
Arahan penempatan yang ditandatangani Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail itu berkuat kuasa pada 24 November lalu.
Perkembangan itu sekali gus menamatkan ketidaktentuan pentadbiran yang berlarutan selama beberapa minggu berhubung kedudukan Shuhaily susulan pengumuman Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, bahawa kementerian memutuskan untuk menamatkan peminjaman pegawai berkenaan dan mengembalikannya kepada PDRM.
Keputusan itu dibuat selepas Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu terhadap dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Pertuduhan berkenaan berkaitan dakwaan pergelutan fizikal membabitkan dua pegawai Cawangan Khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada bulan September lalu.
Bagaimanapun, proses pemindahan tersebut tidak berjalan lancar apabila berdepan beberapa kekangan pentadbiran dan prosedur perlembagaan.
Walaupun sedang bercuti pada penghujung bulan Oktober, Shuhaily kembali ke ibu pejabat AKPS pada 2 November lalu untuk mempengerusikan mesyuarat pegawai kanan agensi berkenaan.
Kemelut itu berterusan apabila Mohd Khalid pada 14 November lalu menjelaskan bahawa Bukit Aman masih belum menerima arahan rasmi berhubung pemindahan Shuhaily.
Beliau turut menjelaskan bahawa tempoh penempatan secara kader selama dua tahun yang diberikan kepada Shuhaily mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, justeru penamatan lebih awal perlu mematuhi tatacara perlembagaan yang sewajarnya.
Shuhaily, yang pernah mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, sebelum ini dipinjamkan daripada PDRM untuk menerajui AKPS sebagai Ketua Pengarah pertamanya pada 1 Julai tahun lalu, susulan penubuhan agensi berkenaan.
-BTSMedia.my



