DALANG utama sindiket pengedaran dadah yang membabitkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya meloloskan diri ketika polis melakukan serbuan untuk menahannya.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata polis sudah mengenal pasti individu terbabit dan usaha mengesannya diteruskan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Wira Madani Jabatan Imigresen di Baling, Kedah, hari ini.
Mengulas kemungkinan sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah di Segi Tiga Emas, iaitu kawasan utama pengeluaran dadah di Asia Tenggara, Saifuddin berkata kemungkinan itu tidak boleh diketepikan.
Katanya, polis sudah mengenal pasti peranan setiap individu dalam rangkaian berkenaan, termasuk dalang utama, pembiaya, pengangkut, penghantar dadah, pemberi maklumat dan penyelaras operasi.
Menurutnya, usaha mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit turut giat dijalankan.
Dalam perkembangan berkaitan, jumlah tangkapan bagi kes berkenaan meningkat kepada 18 orang selepas seorang lagi pegawai TUDM dan empat orang awam ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, semalam.
Daripada jumlah itu, lapan adalah pegawai dan anggota TUDM.
Sementara itu, tiga pegawai TUDM dan tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam, atas pertuduhan mengedar 96.2 kilogram dadah jenis methamphetamine.
Mereka ialah Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34; Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, 33; dan Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, 27.
Ketiga-tiga pegawai itu didakwa bersama Tan Sui Seng, 48; Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin, 28; dan Afifah Amdas, 34, atas kesalahan berkenaan di pangkalan udara Subang pada pukul 6.50 petang, 17 November lalu.
Sindiket itu terbongkar selepas pemeriksaan rutin terhadap barangan sebelum dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di pangkalan berkenaan menemukan 96.64 kilogram dadah disyaki methamphetamine bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram bahan kimia.
Kes penemuan dadah itu mencetuskan siasatan besar-besaran terhadap kegiatan penyeludupan yang dipercayai menggunakan aset dan kemudahan TUDM.
-BTSMedia.my



