SEMUA sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Perak akan kembali beroperasi seperti biasa esok selepas kualiti udara di negeri itu menunjukkan peningkatan.
Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar, berkata keputusan itu dibuat selepas semua stesen pemantauan di negeri berkenaan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di bawah paras tidak sihat 150 setakat pukul 2 petang ini.
Beliau berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan bersama pejabat pendidikan daerah bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan garis panduan dan arahan KPM.
Menurutnya, ibu bapa dan penjaga juga diminta mengikuti perkembangan semasa serta merujuk pengumuman rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Perak berhubung situasi jerebu.
Beliau berkata, kerjasama ibu bapa dengan pihak sekolah amat penting bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid terus terpelihara sepanjang keadaan jerebu masih berlaku.
Keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta seluruh warga pendidikan kekal menjadi keutamaan jabatan itu dalam menangani situasi berkenaan, katanya.
Pada hari Jumaat lalu, semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM di daerah Kinta Utara, Kinta Selatan dan Kuala Kangsar diarahkan tutup berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk.
-BTSMedia.my



