SISTEM amaran awal kecemasan negara, MySiren, berjaya menjalani ujian di seluruh negara hari ini apabila mesej amaran diterima hampir serentak pada telefon pintar pengguna dari Perlis hingga ke Sabah.
Ujian itu membuktikan keupayaan sistem berkenaan menyalurkan maklumat kecemasan dengan pantas tanpa bergantung kepada perkhidmatan khidmat pesanan ringkas (SMS).
MySiren, yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2024, mengambil masa untuk dilaksanakan berikutan beberapa keperluan teknikal dan proses perolehan.
Sistem itu mula beroperasi pada 19 November lalu, manakala ujian awal membabitkan ahli Parlimen telah dijalankan pada 23 November.
Ujian berskala nasional hari ini turut disertai sesi secara langsung dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Penerangan di seluruh negara.
Maklum balas awal yang diterima dari Padang Besar hingga Pulau Sebatik dan Tawau menunjukkan amaran berkenaan berjaya disampaikan hampir serentak.
Teknologi cell broadcast system (CBS) yang digunakan membolehkan isyarat dihantar melalui peralatan radio di menara telekomunikasi terus kepada telefon pintar dalam kawasan liputan yang ditetapkan.
Kaedah itu tidak menggunakan saluran SMS dan tidak memerlukan pengumpulan maklumat peribadi pengguna, selain tidak mewajibkan orang ramai memuat turun aplikasi atau membuat pendaftaran.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata beliau akan meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan MCMC mempertimbangkan pelaksanaan ujian MySiren setiap tahun sempena Bulan Kesiapsiagaan Bencana pada bulan Oktober.
Beliau berkata berkata Ahad pertama setiap Oktober dicadangkan sebagai tarikh pelaksanaan, namun perkara itu masih belum dimuktamadkan.
Ujian tahunan itu penting bagi membiasakan orang ramai dengan bunyi serta bentuk amaran yang akan diterima sekiranya berlaku kecemasan sebenar, katanya.
Kos keseluruhan sistem MySiren sepanjang tempoh operasinya dianggarkan berjumlah RM200 juta.
-BTSMedia.my



